MH370 : Selepas Dua Tahun
11:27:00Lepas dua tahun, keluarga MH370 masih harapkan bukti
Perjumpaan sempena majlis memperingati pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu diadakan di perkarangan pusat membeli-belah Publika, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang.
Difahamkan pertemuan ini adalah untuk mengenang kembali dan menghormati kesemua penumpang termasuk 13 anak kapal yang hilang dalam tragedi tersebut.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, Zainab Mohamad Ariffin,60, meskipun hampir dua tahun tragedi itu berlaku beliau tidak pernah berputus asa dan berharap sinar menanti di akhir hayatnya dan keluarga.
Walaupun semakin redha dengan apa yang berlaku namun beliau tetap mahu kerajaan membuktikan bagaimana pesawat MH370 berakhir di lautan Hindi seperti dimaklumkan sebelum ini.
“Hari ini kita menerima realiti dan redha dengan apa yang berlaku kerana ia ketentuan Allah, tetapi kita jangan berputus asa.
"Sebenarnya apa yang kerajaan nyatakan sebelum ini bahawa pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi tidak boleh diterima. Kenyataan tersebut tidak cukup untuk kami.
"Justeru, kerajaan harus bertanggungjawab dengan membuktikan bagaimana pesawat tersebut berakhir. Kerana setiap yang berlaku mesti ada bukti,” katanya kepada Malaysiakini.
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang termasuk 13 anak kapal itu hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Teruskan usaha mencari
Bagi Zamani Zakaria, 58, bapa kepada salah seorang mangsa MH370 amat berharap kerajaan dapat meneruskan usaha mencari pesawat itu.
"Saya harap pihak kerajaan teruskan usaha mencari pesawat MH370, tak kiralah (sama ada) orangnya sudah meninggal dunia atau bangkai pesawat," katanya.
Menurut Zamani, beliau hanya akan redha dan menerima takdir hidup anaknya biarpun hanya bangkai pesawat tersebut dijumpai.
"Yang penting kami redha setelah mengetahui akan kebenaran itu. Sekarang kami tertanya-tanya dan soalan kami itu tiada jawapan," keluh Zamani.
Zamani adalah bapa kepada Mohd Razahan Zamani yang hilang bersama isterinya ketika dalam perjalanan berbulan madu di Beijing.
*Asyraf Abd.Malek
0 comments